Insiden Beto (kiri) dan pemain PJ City FC pada aksi semalam. FOTO Ihsan pembaca
Insiden Beto (kiri) dan pemain PJ City FC pada aksi semalam. FOTO Ihsan pembaca
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Lakonan 'ala pemenang anugerah Oscar' oleh pemain Petaling Jaya (PJ) City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri ketika melakukan simulasi di dalam kotak penalti nyata mengundang kemarahan peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Melaka United.

Malah, laman sosial pemain tengah itu yang turut dikenali dengan panggilan Beto menyaksikan dia dikecam hebat atas tindakannya yang menjatuhkan badan tanpa disentuh oleh pertahanan Melaka United hingga diberi sepakan penalti pada minit ke-80.

Menerusi ulang tayang perlawanan, jelas sekali Khairil berjaya memperdaya pengadil perlawanan Mohd Fairuzi Mat Desa dengan gaya 'lakonan' seolah-olah menunjukkan yang dirinya dibentes oleh S Kumaahran.

Lebih malang, Kumaahran turut dilayangkan kad kuning oleh Fairuzi sedangkan jelas pembantu pengadil, Muhammad Farhan Abdul Aziz memberi isyarat bahawa tiada penalti yang didengari salah seorang pemain Melaka United ketika itu.

Namun ia tidak diendahkan oleh Fairuzi yang akhirnya menyebabkan aksi kedua-dua pasukan berakhir seri 2-2 di antara PJ City dan Melaka United yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.

"Tak berkat gaji main bola macam ini, dari minat terus jadi tak minat, siap senyum senyum tadi. Saya malu dengan awak Beto," tulis Fikri Aziz di laman sosial mengenai lakonan Khairil.

"Beto tak ada fairplay? Main kampung jelah bos," kata Muhmmadadlan.

"Buat-buat jatuh dalam kotak penalti. Pengadil mata buta tapi sayang nya seri jugak," membertido66.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri mengesahkan pihaknya sudah menghantar aduan rasmi tentang mutu pengadilan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tindakan lanjut.

Kata Saiful, selepas bedah siasat dalaman dilakukan bersama pemain dan pegawai pasukan, pihaknya percaya wujud kesilapan oleh pihak pengadil dan beliau berharap FAM dapat menyiasat perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 2:40 PM