Aksi Farhan bersama Kedah dalam saingan Liga M
Aksi Farhan bersama Kedah dalam saingan Liga M
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah mengesahkan menerima permintaan Perak FC untuk mendapatkan khidmat Farhan Roslan atau digelar Messi Kedah secara pinjaman untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain sayap licik itu difahamkan sebelum ini mendapat perhatian skuad Perak FC kendalian jurulatih Chong Yee Fatt bagi memantapkan lagi sentuhan serangan buat skuadnya.

Kehadiran beberapa pilihan pemain sayap posisi kiri lain dalam skuad KDA FC antaranya Syazwan Zainon, Fayadh Zulkifli, Kipre Tchetche dan beberapa nama lagi dikatakan antara faktor berkemungkinan Farhan akan dipinjamkan kepada Perak FC pada musim ini.

Menurut Ketua Jurulatih skuad Hijau Kuning Aidil Sharin Sahak, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Farhan dan juga pihak pengurusan bagi menyatakan pendiriannya sebelum kata putus dibuat pengurusan selepas ini.

"Saya telah selesai berbincang dengan pemain dan juga pihak pengurusan dan biarlah pemain sendiri dan pihak pengurusan KDA FC menimbangkan keputusan yang sewajarnya yang akan diambil.

"Pada saya, sekiranya proses pinjaman pemain ini dilakukan, ianya sudah mengambil kira dalam semua aspek yang sudah dipertimbangkan."

"Saya juga berharap semua pemain sedia ada dapat terus berikan fokus sepenuh hati mereka untuk berjuang memburu kejayaan pada musim ini" katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima permohonan pinjaman pemain berkenaan.

Bagaimanapun, pengumuman berkaitan status pinjaman berkenaan difahamkan akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 6:30 PM