STUART berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan sekiranya terdapat apa-apa yang diperlukan peguam dan pemain terbabit daripada FAM. FOTO NSTP
STUART berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan sekiranya terdapat apa-apa yang diperlukan peguam dan pemain terbabit daripada FAM. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berdepan masalah malah menyokong tindakan undang-undang yang diambil bekas pemain Kuantan FA dan Marcerra United dalam menuntut penyelesaian tunggakan gaji daripada pengurusan kelab itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu tidak boleh mengambil tindakan kerana perkara itu sudah keluar dari bidang kuasa bola sepak selepas pasukan terbabit ditutup.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan sekiranya terdapat apa-apa yang diperlukan peguam dan pemain terbabit daripada FAM.

"Perkara ini sudah berlanjutan lama dan saya pun ada perbincangan dan perjumpaan bersama pemain pasukan ini pada 2019. Nasihat saya pada perjumpaan itu adalah bila pasukan itu sudah tutup, ia di luar bidang kuasa bola sepak.

"Tak ada apa-apa tindakan FAM boleh buat kepada pasukan yang sudah tutup. Ia sudah beralih pula menjadi kes sivil, isu kontrak antara pemain dengan majikannya.

"Saya bersetuju dengan langkah yang diambil oleh pemain dan peguamnya. Saya juga sudah berkomunikasi dengan pihak peguam pemain itu.

"Kami akan beri apa-apa sokongan dan apa-apa keperluan kepada pemain dan juga pihak peguam untuk memastikan kita bekerjasama dalam hal ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bekas pemain Marcerra Kuantan FA mahu mengheret pemilik kelab itu ke muka pengadilan selepas bersabar hampir tiga tahun ekoran tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.

Menurut peguam yang dilantik bekas pemain itu Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak, pihaknya bakal mengheret dua pasukan iaitu Marcerra Kuantan FA dan Kuantan FA membabitkan isu tunggakan gaji sejak 2018 lalu.

Sebagai rekod, tuntutan lebih RM900,000 itu adalah membabitkan tuntutan daripada 26 pemain dan tujuh pegawai Kuantan FA berjumlah RM590,125 serta 26 lagi pemain dan pegawai Marcerra United berjumlah RM313,306.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 10:35 PM