PEMAIN West Ham meraikan kejayaan mengalahkan Spurs 2-1 sebentar tadi. FOTO AFP
PEMAIN West Ham meraikan kejayaan mengalahkan Spurs 2-1 sebentar tadi. FOTO AFP
AFP

London: West Ham melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan bermasalah, Tottenham sekali gus meninggalkan musuh sejiran London itu di kedudukan goyah untuk memburu slot empat terbaik liga.

Pasukan bimbingan Jose Mourinho itu tumpas buat kali kelima dalam enam perlawanan terakhir liga selepas barisan pertahanan mereka mempamerkan aksi goyah di Stadium London.

Michail Antonio meletakkan West Ham di depan pada awal separuh masa pertama dan Jesse Lingard menggandakan jaringan untuk pasukan tuan rumah selepas rehat.

Lucas Moura mengurangkan defisit jaringan dengan gol liga pertamanya sejak September namun Spurs gagal untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

West Ham mengatasi Chelsea dua mata untuk melonjak ke kedudukan automatik Liga Juara-Juara selepas peningkatan mendadak tujuh kemenangan dalam sembilan aksi terakhir liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 10:53 PM