ABK 2020 Virtual.
ABK 2020 Virtual.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sebahagian besar peminat bola sepak Liga Malaysia (Liga M) sama sekali tidak menduga mendapat pengiktirafan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2020 Virtual yang berlangsung malam kelmarin.

Rata-rata daripada penyokong memuji inisiatif serta keputusan MFL memberikan penghargaan itu selepas musim 2020 yang penuh mencabar buat mereka berikutan tidak dapat ke stadium sejak Liga M kembali bersambung pada 26 Ogos lalu.

Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri mengakui ini adalah hadiah paling bermakna daripada MFL kepada penyokong yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kemeriahan liga tempatan.

"Mewakili peminat, kami sememangnya berasa terharu dan berbangga dengan pemberian anugerah ini daripada MFL biarpun kami tidak dapat ke stadium seperti mana ditetapkan pihak berkuasa.

"Namun sokongan kami tidak pernah putus apabila sentiasa mengikuti siaran langsung perlawanan Liga M dan serta mengikuti perkembangan pasukan di pelbagai platform.

"Sememangnya kejutan yang dibuat oleh MFL sama sekali tidak dapat diduga oleh sesiapa serta keputusan yang tepat untuk diberikan kepada kami," katanya.

Sementara itu, penyokong setia Pulau Pinang, Kelvin Leng mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjuran ABK sambil berasakan peranan mereka selaku penyokong begitu dihargai oleh MFL.

Menurutnya, keputusan itu sama sekali tidak diduga memandangkan belum ada mana-mana pihak memberikan penghargaan sebegitu rupa kepada penyokong yang sentiasa menjadi 'pemain ke-12'.

"Sebaik diumumkan pemenang bagi kategori MVP, saya memang tidak menduga dan anggap ini keputusan di luar jangkaan kami selaku penyokong, saya sangat bersyukur sebab pihak MFL menghargai penyokong bola sepak tempatan dalam musim yang penuh kesukaran.

"Saya pada mulanya tertumpu kepada beberapa pemain dalam fikiran kami untuk anugerah ini dan selepas diumumkan bahawa penyokong ialah pemenang saya sangat terkejut," kata Kelvin.

MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, barisan juri bersama MFL bersetuju menobatkan penyokong Liga M sebagai pemenang MVP di ABK 20 Virtual sebagai tanda signifikasi sokongan teguh kepada bola sepak tempatan selama ini.

Jumlah tontonan di Liga M yang mencecah 29,315,113 menunjukkan satu angka positif serta membuktikan bola sepak sangat dekat di hati rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor, Faizal Wahid menyeru semua penyokong mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan ketika hadir ke stadium pada musim baharu ini selepas Majlis Keselamatan negara (MKN) membenarkan semula kemasukan penyokong secara terhad.

"Terima kasih kepada MKN kerana benarkan dan mendengar luahan penyokong apabila membenarkan penyokong hadir ke stadium walaupon 10%. Saya harap semua penyokong wajib mengikut SOP yang diperketatkan semasa masuk ke stadium.

"Kami sebagai penyokong akan sentiasa bekerjasama dengan pengurusan mahukan kelab bagi menjalankan proses yang diberikan oleh MFL," kata Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 6:00 AM