SOKONGAN padu penyokong dapat pengiktirafan.  FOTO MFL
SOKONGAN padu penyokong dapat pengiktirafan. FOTO MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Buat pertama kalinya, pemenang Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) Virtual 2020 menyaksikan 'pemain ke-12' dijulang sebagai pemenang sekali gus melakar sejarah unik sepanjang penganjuran ABK sejak 15 tahun lalu.

Berbanding tradisi sebelum ini yang menyaksikan pemain terbaik tempatan dipilih menjadi pemenang bagi anugerah MVP, barisan juri bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menganggap kemenangan itu diberikan kepada peminat sebagai tanda signifikasi sokongan teguh mereka terhadap bola sepak tempatan selama ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, penyokong terus setia memberikan sokongan padu kepada kelab masing-masing biarpun berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19.

PEMILIK JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menandatangani jersi. FOTO Johor Southern Tigers
PEMILIK JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menandatangani jersi. FOTO Johor Southern Tigers

ABK20 Virtual menyaksikan penguasaan kelab juara tujuh kali berturut-turut Liga Super, JDT apabila memenangi lima kategori yang dipertandingkan kali ini.

Pemain JDT, Farizal Marlias dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, disusuli Aidil Zafuan Abd Radzak dinobatkan Pertahanan Terbaik sementara ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora dipilih sebagai Jurulatih Terbaik selain bekas pemenang MVP musim lalu, Safawi Rasid dipilih menjadi pemenang Pemain Tengah Terbaik musim ini.

Kelab Harimau Selatan itu menutup tahun gemilang mereka apabila dipilih sebagai sebagai Pasukan Terbaik 2020.

AHMAD Shapawi.
AHMAD Shapawi.

Malam bermakna buat tonggak Perak, Shahrel Fikri Fauzi yang bakal bermain bersama Selangor pada musim depan apabila membawa pulang dua trofi iaitu Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dengan ledakan 10 gol dan Penyerang Terbaik tahun ini.

Status pemenang Kasut Emas dan Penjaring Terbanyak Liga Super pula menjadi milik Ifedayo Omosuyi yang meledak 12 gol bersama skuad Red Giants, manakala penyerang Pulau Pinang, Casagrande yang menghasilkan sembilan gol dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Perdana.

Turut mencuri perhatian, penyerang muda Selangor II Danial Asri yang meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana dengan ledakan tujuh gol.

Pemenang Anugerah ABK 20 Virtual diumumkan dalam satu majlis yang diadakan secara maya malam ini sambil disaksikan oleh Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah dan CEO MFL.

Untuk rekod, bagi pemilihan pemenang ABK 20 Virtual dimuktamadkan daripada 70 peratus kiraan mata juri profesional dan 30 peratus kiraan mata undian peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 10:27 PM