ABOU Bakr (dua dari kiri) beraksi bersama Kelantan pada 2017. FOTO NSTP
ABOU Bakr (dua dari kiri) beraksi bersama Kelantan pada 2017. FOTO NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) sudah melunaskan tunggakan gaji seorang lagi bekas pemain import skuad The Red Warriors (TRW), Abou Bakr Al Mel.

Penasihat Undang-Undang Kelantan FC Shairuz Sheffie berkata sejumlah RM969,283 sudah dibayar kepada bekas penyerang import dari Lubnan itu, dalam dua kali pembayaran iaitu pada 15 Oktober dan 17 Disember lepas.

"Kelantan FC ingin mengumumkan bahawa kami berjaya melunaskan pembayaran hutang tertunggak sebanyak AS$233,000 (RM969,283) kepada Abou Bakr.

"Hutang itu dibayar dalam dua bahagian iaitu AS13$3,000 (15 Oktober) dan AS$100,000 (17 Disember) kepada Peguamcara, Eleven & Law," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi pasukan itu, hari ini.

Abou Bakr beraksi bersama Kelantan pada 2017 bagi mengisi kekosongan posisi penyerang ditinggalkan bekas pemain import pasukan itu, Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Semalam, dilaporkan, Kelantan FC juga melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji bekas pemain import dari Brazil iaitu Cassio Francisco dengan sejumlah RM679,263.20.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 10:31 PM