WAN Amirul tercalon anugerah Pertahanan Terbaik ABK. FOTO FB MFL
WAN Amirul tercalon anugerah Pertahanan Terbaik ABK. FOTO FB MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Satu jaringan dan lima bantuan gol yang dilakukan tonggak pertahanan Melaka, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman pada musim ini diharap mampu meletakkannya sebagai Pertahanan Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual.

Jelas Amirul, tercalon dalam kategori Pertahanan Terbaik buat kali pertama tahun ini ibarat satu penghargaan kepada dirinya selepas berdepan musim 2020 yang cukup mencabar bersama Melaka.

Beraksi di bek kiri, pemain berusia 28 tahun ini menjadi tulang belakang kepada pasukan menerusi lima bantuan gol yang dilakukannya dalam saingan Liga Super serta satu jaringan gol ketika menentang PDRM pada Mac lalu.

Menariknya, bekas pemain Felda United itu menjadi antara salah seorang pemain yang berjaya melakukan paling banyak bantuan gol selain Lee Tuck (Terengganu FC), Diogo Luis Santo (Johor Darul Ta'zim) dan Sandro da Silva (Selangor).

Namun, melihat kepada calon iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT), Shahrul Saad (Perak), Shakir Hamzah (Kedah), Azmi Muslim (Pulau Pinang), Corbin Ong (JDT), Matthew Davies (JDT), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), dan Victor Nirennold (UiTM FC), Amirul menyifatkan persaingan pastinya sengit dan bukan mudah untuk menentukan siapakah yang benar-benar layak bergelar pemenang.

"Satu penghargaan sebenarnya kepada saya kerana sebelum ini saya tidak pernah tercalon, tetapi apabila dapat berada dalam kelompok 10 calon terbaik, ia seperti beri semangat baru untuk ssya buat lebih baik pada musim depan.

"Kita pun tahu musim 2020 sangat mencabar dan setiap pemain ada peluang masing-masing untuk tonjolkan prestasi terbaik dalam tempoh saingan liga yang singkat, jadi apabila dah tercalon, saya berasa sangat bersyukur dan saya sedar bukan mudah untuk menyaingi calon-calon lain.

"Macam saya, sentiasa ikut taktikal jurulatih, dan kalau beliau (Zainal Abidin Hassan) nak saya selalu bermain di depan, saya tiada masalah untuk selalu bantu di bahagian depan, tidak kira penat ke apa, saya buat sahaja yang terbaik untuk pasukan," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 8:05 PM