AKSI Southampton setakat ini sangat bergaya dan meyakinkan. FOTO AFP
AKSI Southampton setakat ini sangat bergaya dan meyakinkan. FOTO AFP
AFP

London: Liverpool berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) namun penyandang juara itu sama seperti pasukan gergasi tradisi yang lain merasakan ia sangat sukar untuk menepis saingan dari beberapa pencabar lain.

Rintangan yang dihadapi enam pasukan gergasi tradisi berdepan pasukan lain dapat dilihat ketika Leicester berjaya melakukannya dengan penuh dramatik pada musim 2015/2016.

Berdasarkan pemerhatian AFP tiga pasukan sedang cuba untuk menamatkan kisah dongeng mereka pada 2020/21.

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl yang diberi jolokan 'Alpine Klopp' dilihat lebih sesuai untuk berada di bawah liga berbanding di bahagian atas terutama selepas pasukannya dimalukan Leicester selepas kalah 9-0 tahun lalu.

Bagaimanapun, sekarang mereka di tangga ketiga liga, hanya dibezakan empat mata dengan pendahulu dan bakal berdepan Manchester City yang masih lagi mencari rentak musim ini.

Southampton, yang bermain dengan penuh bergaya dan yakin, merasakan mereka mampu untuk mendapat keputusan lebih baik ketika berdepan City dan bolehkan mereka terus mengekori Liverpool selepas hanya tumpas sekali dalam 11 perlawanan terakhir.

Southampton gagal untuk menggunakan kesempatan ketika berdepan Arsenal yang beraksi dengan 10 pemain semalam apabila hanya mencatat keputusan seri 1-1 namun Hasenhuttl tetap berpuas hati dengan aksi berkenaan.

"Sekali lagi belum dikalahkan, ia adalah perkara paling penting dan sekarang kami harus menggandakan usaha. Kami masih 10 mata dibezakan dengan Arsenal. Itu sudah cukup untuk menerangkan segala-galanya," kata pengendali kelahiran Austria itu.

Dua lagi pasukan yang dikatakan menjadi pengacau kepada gergasi EPL ialah Everton yang menduduki tangga kelima serta Leicester menghuni tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 2:28 PM