PEMAIN Dortmund kecewa selepas hanya mencatat keputusan seri bertemu Frankfurt. FOTO AFP
PEMAIN Dortmund kecewa selepas hanya mencatat keputusan seri bertemu Frankfurt. FOTO AFP
AFP

Berlin: Ketika penyerang bintang mereka, Erling Braut Haaland tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, Borussia Dortmund kehilangan mata penuh dalam saingan Bundesliga selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Eintracht Frankfurt.

Keputusan seri itu menyaksikan Dortmund berada di tangga ketiga liga, empat mata di belakang pendahulu, Bayern Munich, yang turut mencatat keputusan seri 3-3 bertemu RB Leipzig.

Selepas kalah mengejut 1-2 di lama sendiri hujung minggu lalu menentang Cologne, Dortmund kehilangan penjaring terbanyak, Haaland yang terpaksa berehat sehingga Januari.

Penjaga gol Dortmun, Roman Burki mengakui pasukannya bergelut untuk mencari keserasian, terutama selepas beberapa pemain baru sembuh dari kecederaan seperti Dan-Axel Zagadou, yang kali pertama beraksi sejak Mac lalu.

"Kami berdepan perlawanan yang banyak, jadi beberapa pemain cedera. Kami bergelut mencari rentak. Kami tidak terlalu teruk selepas berehat dan mungkin akan menang jika ada sedikit tuah," katanya.

Pertahanan Dortmund sedikit terleka apabila mereka melepaskan gol awal melalui pemain tengah Frankfurt, Daichi Kamada.

Penampilan penyerang berusia 16 tahun, Youssoufa Moukoko selepas rehat menyaksikan Dortmund menunjukkan peningkatan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan melalui, Giovanni Reyna.

Sementara itu, Thomas Mueller meledak dua gol untuk membantu pendahulu Bundesliga itu bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat keputusan seri.

Gol awal Christopher Nkunku berjaya disamakan dengan jaringan penyamaan Jamal Musiala sebelum Muller meletakkan Bayern mendahului 2-1.

Justin Kluivert berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat dan tandukan Emil Forsberg kembali meletakkan Leipzig di depan namun pada minit ke-75 Mueller menanduk masuk gol penyamaan hasil hantaran lintang Kingsley Coman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 1:52 PM