KANE berada di kelas tersendiri selepas meledak jaringan ke-150 di EPL. FOTO AFP
KANE berada di kelas tersendiri selepas meledak jaringan ke-150 di EPL. FOTO AFP
AFP

London: Harry Kane menyertai senarai penjaring 150 gol di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membantu Tottenham Hotspur mengalahkan West Bromwich Albion hasil tandukan pada saat akhir perlawanan.

Hanya Alan Shearer dan Sergoi Aguero yang menjaringkan 150 gol di EPL dalam penampilan lebih sedikit berbanding Kane, yang sudah beraksi sebanyak 218 perlawanan.

Pengurus Spurs, Jose Mourinho sangat memuji penyerang bintangnya, yang juga melakukan 10 hantaran menghasilkan jaringan dalam semua kejohanan musim ini.

"Apabila anda melihat statistik berkaitan penyerang, saya selalu berkata bahawa statistik yang tepat adalah berapa banyak penyerang itu menjaringkan gol dan apa yang dilakukannya untuk pasukan dalam perlawanan jika dia tidak menjaringkan gol.

"Kebanyakan penyerang memahat sejarah dengan jumlah keseluruhan luar biasa jaringan mereka lakukan.

"Harry Kane pula anda harus melihat berapa banyak jaringan, hantaran menghasilkan jaringan, merampas bola, kemenangan yang dilakukannya. Begitu juga dengan berapa banyak kali dia membantu pasukan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ketika situasi bola mati pihak lawan.

"Inilah Harry Kane. Jaringan berserta dengan beberapa lagi kelebihan lain," kata Mourinho.

Kane, yang meledak jaringan ke-200 bersama Tottenham bagi semua kejohanan ketika menentang Ludogorets Khamis lalu, hadir tepat pada waktunya untuk memecahkan kebuntuan.

Dia meledak jaringan kemenangan pada minit ke-88 apabila menanduk masuk hantaran lintang Matt Doherty.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 7:44 AM