DELE Alli.
DELE Alli.
Reuters

TOTTENHAM Hotspur masih mencari sentuhan di bawah kendalian pengurus baru Jose Mourinho namun pemain yang banyak menerima manfaat daripada ketibaannya adalah pemain tengah yang kini bergelar penyerang, Dele Alli yang jaringan kemenangannya memastikan tiga mata ke atas Brighton awal pagi tadi.

Selepas menjaringan 37 gol Liga Perdana Inggeris sepanjang tiga musim termasuk 18 gol dalam kempen 2016/17, Alli tersisih musim lalu apabila kecederaan dialami menghalangnya tampil lebih konsisten.

Sebelum pelantikan Mourinho Alli hanya menjaringkan tiga gol dalam 30 perlawanan tetapi dalam lapan perlawanan terakhirnya, pemain berusia 23 tahun itu meledak lima gol dan tiga bantuan jaringan, lebih daripada mana-mana pemain Spurs sejak jurulatih Portugal itu mengambil alih pasukan daripada Mauricio Pochettino.

“Orang berkata yang sejak saya tiba, Dele menjaringkan tiga atau empat gol dalam Liga Perdana dan satu atau dua gol dalam Liga Juara-Juara tetapi saya tidak menuju ke arah itu,” kata Mourinho selepas Spurs melonjak ke tangga kelima.

“Saya menuju ke arah di mana Dele Alli keletihan akibat bekerja. Saya sukakan pemain yang letih kerana itu.”

Tiada seorang pemain Spurs pun yang menguasai padang ketika menentang Brighton lebih daripada Alli, yang sepakan lambungnya ke atas penjaga gol Mat Ryan menjadi pembuka kepada kebangkitan separuh masa kedua yang menyebabkan Mourinho melompat kegembiraan di tepi padang.

“Ia penyudah luar biasa,” kata penjaring gol pertama Tottenham Harry Kane. “Bola itu datang kepadanya dengan begitu pantas dan dia melakukan sepakan lambung mengatasi penjaga gol - luar biasa, dia berhak ke atasnya.”

Tottenham akan berkunjung ke pasukan tercorot Norwich City awal pagi Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 9:16 PM