PERTAHANAN TFC, Nasrullah Hanif (tengah) sedia mengunci pergerakan rangkaian penyerang PJ City pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini. FOTO GHAZALI KORI
PERTAHANAN TFC, Nasrullah Hanif (tengah) sedia mengunci pergerakan rangkaian penyerang PJ City pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan tengah Terengganu FC (TFC), Nasrullah Hanif Johan sedia mengunci pergerakan rangkaian penyerang skuad Petaling Jaya (PJ) City FC apabila kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan aksi kalah mati saingan pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu ini.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kedah yang kini menetap di Negeri Sembilan, akui skuadnya bakal berdepan dengan laluan sukar untuk merakam kemenangan malah boleh membuatkan skuadnya 'menangis' jika tidak berwaspada biarpun aksi Liga Super musim ini memihak kepada skuad Penyu dengan kemenangan 2-0.

"Kami bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi menentang skuad The Pheonix itu, secara peribadi jika diturunkan dalam kesebelasan utama sudah pasti mahu memberikan sepenuh tenaga bagi merantai barisan penyerang mereka daripada bergerak bebas.

"Namun bagi saya skuad itu bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan kerana pasukan bimbingan K Devan itu mempunyai pemain yang berkualiti terutama daripada aspek fizikal yang tinggi.

"Malah pasukan itu juga pernah mengejutkan kami musim lalu dalam saingan Liga Super apabila bangkit merakam kemenangan 5-3 selepas ketinggalan 0-3 pada babak pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

"Jadi kami tiada pilihan lain kecuali perlu fokus dan berwaspada dengan ancaman pasukan dari Kuala Lumpur itu yang mampu mengejutkan kami jika leka, lagipun skuad itu juga pernah melakar kejutan mencalar rekod tanpa kalah pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 pada aksi Liga Super musim lalu.

"Apapun beraksi di laman sendiri, sedikit kelebihan bakal memihak kepada kami walaupun stadium kosong tanpa kehadiran peminat setia berikutan wabak pandemik Covid-19, situasi ini juga berdasarkan prestasi rakan sepasukan berada pada tahap terbaik, kami boleh menang.

"Besar harapan saya turut menuntut rakan sepasukan mampu memperagakan aksi terbaik untuk mara ke suku akhir kerana sebarang kelalaian bakal membawa padah lebih-lebih lagi format pertandingan kalah mati," kata pemain yang lebih mesra dipanggil Anas kepada sukan NSTP.

TFC yang mengakhiri Liga Super di kedudukan ketiga dijangka bakal mempertaruhkan penjaring terbanyaknya musim ini, Dominique Da Sylva mengetuai jentera serangan manakala kapten, Lee Tuck bakal diberi tanggungjawab besar mengemudi jentera tengah bersama pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 10:40 PM