PELUANG Aaron-Wooi Yik raih kejuaraan Seluruh England tak kesampaian. FOTO AFP
PELUANG Aaron-Wooi Yik raih kejuaraan Seluruh England tak kesampaian. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto meranapkan impian beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk bergelar juara Seluruh England.

Fajar-Rian yang juga juara bertahan menundukkan Aaron-Wooi Yik 21-16, 21-16 pada aksi final di Utilita Arena, Birmingham.

Permainan Aaron-Wooi Yik kelihatan goyah sejak di awal set pertama apabila banyak melakukan kesilapan mudah sehingga membolehkan lawan menang di set pertama.

Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kelima dunia cuba bangkit di set kedua untuk membawa perlawanan ke set penentuan apabila berjaya mengikat kedudukan 10 sama namun mereka gagal untuk menghalang serangan Fajar-Rian yang kekal tenang mendominasi permainan sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan status naib juara mengulangi pencapaian 2019 apabila tunduk kepada beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan di pentas final.

Keputusan itu juga menyaksikan kemarau Malaysia selama 17 tahun bagi menjuarai acara beregu lelaki di Seluruh England berterusan dengan kali terakhir gandingan Koo Kiean Keat-Tan Boon Heong memenanginya pada edisi 2007.

Selaku juara, Fajar-Rian membawa pulang hadiah wang tunai sebanyakAS$96,200 (RM452,485) manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$45,500 (RM214,013).

Sementara itu dalam aksi perseorangan lelaki menyaksikan , Jonatan Christie merangkul gelaran sulung Seluruh England selepas mengetepikan rakan senegara, Anthony Sinisuka Ginting 21-15, 21-15 di pentas final.

Manakala dalam acara perseorangan wanita pemain Sepanyol, Carolina Marin kembali muncul juara selepas sembilan tahun apabila lawan lawannya dari Jepun, Akane Yamaguchi menarik diri di set kedua ketika ketinggalan 1-11.

Bagi saingan beregu wanita pula menyaksikan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee turut merangkul gelaran pertama selepas mengetepikan cabaran gandingan Jepun yang juga juara edisi 2022, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam pertarungan tiga set 21-19, 11-21, 21-17.

Beregu campuran nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong menepati ramalan apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu selepas menundukkan wakil Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-16, 21-11.

Ini adalah gelaran ketiga buat Si Wei-Ya Qiong di Seluruh England selepas turut muncul juara pada edisi 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 8:01 AM