KENNY (tiga dari kanan) dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi (dua,kiri) bergambar selepas sidang media pada BATC) 2024, hari ini. FOTO BERNAMA
KENNY (tiga dari kanan) dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi (dua,kiri) bergambar selepas sidang media pada BATC) 2024, hari ini. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat mengambil langkah selamat dengan meletakkan sasaran ke separuh akhir dahulu untuk pasukan negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 bermula 13 hingga 18 Februari ini.

Sasaran itu dilihat sebagai satu langkah awal sebelum Malaysia terutama pasukan lelaki memburu kejuaraan seterusnya mempertahankan gelaran diraih pada edisi dua tahun lalu di venue sama iaitu Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, BATC akan menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas dan Uber yang dijadual berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei depan.

"Saya fikir pada masa ini kita sasar berada dalam kelompok empat terbaik dulu dan saya percaya pasukan akan lihat ia sebagai satu proses.

"Adalah penting untuk kita layak secara merit... sudah pasti, kalau boleh kita nak (layak) secara merit," katanya.

Jelas Kenny lagi, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sedang dalam proses penilaian pemain untuk menyertai BATC.

"Buat masa ini, masih dalam perbincangan. Rexy sebagai pengarah kejurulatihan mungkin ada perancangan, jadi kami masih menunggu daripadanya mengenai pemain yang akan beraksi di BATC nanti," katanya.

Selain pentas kelayakan ke saingan Piala Thomas dan Uber 2024, BATC menawarkan mata mata ranking bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Kejohanan di bawah kendalian Badminton Asia itu mempertandingkan saingan berpasukan lelaki yang bakal menyaksikan penyertaan 15 pasukan dengan China, Jepun, Indonesia dan Malaysia disenaraikan sebagai empat pasukan teratas diikuti India, Taiwan, Thailand, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kazakhstan, Arab Saudi, Myanmar dan Brunei.

Kategori wanita pula menampilkan 11 pasukan iaitu China, Jepun, Thailand, juara bertahan Indonesia, Taiwan, India, Malaysia, Hong Kong, China, Singapura, UAE dan Kazakhstan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 2:43 PM