AARON (kiri) dan Wooi Yik tiga kali gagal melepasi peringkat kumpulan di Jelajah Dunia Akhir, sebelum ini. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik tiga kali gagal melepasi peringkat kumpulan di Jelajah Dunia Akhir, sebelum ini. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu memastikan penampilan ketiga di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China menjadi mimpi indah dengan menjulang kejuaraan di pentas terbabit.

Ini kerana, pasangan nombor dua dunia itu mempunyai pengalaman buruk di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2 juta (RM9.31 juta) itu sebelum ini apabila gagal melepasi peringkat kumpulan dalam ketiga-tiga penampilan mereka pada edisi 2019, 2020 dan 2022.

Wooi Yik berkata, dia mahu pastikan penantiannya untuk meraih kejayaan di bumi China berakhir pada penampilan di Hangzhou bermula dari 13 hingga 17 Disember ini.

"Kami sudah tiga kali layak ke Jelajah Dunia Akhir sebelum ini, tahun ini akan menjadi yang keempat. Jadi, kami harap boleh melepasi peringkat kumpulan.

"Walaupun tidak mudah kerana perlu bersaing dengan tujuh lagi beregu terbaik, kami harap boleh menampilkan persembahan terbaik apatah lagi ini adalah kejohanan terakhir tahun ini. Kami mahu menikmatinya," katanya.

Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim itu dengan Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan keempat.

Tujuh lagi pasangan yang layak adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Baga Maulana (Indonesia).

Wooi Yik berkata, berbaki dua minggu sebelum kejohanan di Hangzhou bermula, dia dan Aaron akan memperkemaskan strategi permainan mereka.

"Kekuatan dan kepantasan memang kami sudah ada. Cuma sekarang kami perlu mempelbagaikan lagi strategi permainan.

"Saya percaya peluang adalah terbuka untuk semua beregu, tetapi semuanya bergantung kepada strategi dan prestasi pada hari perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 4:09 PM