ZII Jia tidak beraksi di Jerman dan pulang ke tanah air atas alasan peribadi.
ZII Jia tidak beraksi di Jerman dan pulang ke tanah air atas alasan peribadi.
Affan Rostam


Bangi: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan mengambil bahagian dalam Terbuka Hylo di Jerman yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 6 November ini.

Keputusan menarik diri itu dimaklumkan oleh pengurus yang juga kakaknya, Lee Zii Yii kepada media, hari ini berikutan masalah peribadi dialami pemain di ranking ke-2 dunia itu.

"Zii Jia menarik diri daripada Terbuka Hylo atas sebab peribadi yang memerlukan dia untuk kembali ke Malaysia. Diharapkan dia akan kembali ke gelanggang secepat yang mungkin," katanya.

Keputusan terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan pemergian datuknya yang dilaporkan meninggal dunia pada Isnin lalu.

Sementara itu, Zii Yii menjelaskan pembabitan adiknya di Terbuka Australia pada 15 hingga 20 November depan masih belum dapat dipastikan.

"Saya masih sedang cuba membuat permohonan visa tetapi ia agak rumit. Selain itu, kami juga perlu melihat keadaan serta tahap kecergasannya," katanya.

Terdahulu, Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Perancis selepas tewas di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 3:18 PM