AKSI  Aaron (kiri) dan  Wooi Yik ketika menentang beregu China.
AKSI Aaron (kiri) dan Wooi Yik ketika menentang beregu China.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mahu terus meratapi kekalahan di Terbuka Indonesia apabila memasang impian mahu memberikan hadiah paling bermakna buat peminat sukan badminton tanah air di Terbuka Malaysia 2022 yang dijadual berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Walaupun pasangan terbabit masih lagi kemarau gelaran musim ini namun Aaron mahu memastikan Terbuka Malaysia medan terbaik untuk dia bersama Wooi Yik bangkit mencipta keputusan positif untuk negara.

"Sudah lama tidak bermain di (Terbuka) Malaysia, lebih kurang dua tahun dan saya sangat teruja. Namun dalam masa sama, saya tidak mahu mengecewakan peminat di Malaysia dan akan lakukan yang terbaik," katanya.

Aaron-Wooi Yik yang memburu kejuaraan pertama musim ini tewas di separuh akhir Terbuka Indonesia semalam di tangan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 18-21, 13-21.

Ia pertemuan pertama antara mereka dan bagi Aaron, prestasinya di gelanggang separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta itu disifatkan sebagai satu permainan yang di luar jangkaannya.

"Satu perlawanan buruk bagi saya. Apabila memasuk gelanggang banyak kesilapan dilakukan. Saya cuba bertenang tetapi setiap kali memasuki separuh akhir, saya seakan lebih terburu-buru dalam gelanggang dan ia menyebabkan banyak kesilapan dilakukan," katanya.

Mengikut rekod, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik pada musim ini adalah menyertai pentas final Kejohanan Badminton Asia di Filipina pada Mei lalu namun tewas di tangan pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan 21-23, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 2:41 PM