AARON Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik masih gagal bergelar juara walaupun tujuh kali melangkah ke final sejak digandingkan pada 2017. FOTO ihsan BAM
AARON Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik masih gagal bergelar juara walaupun tujuh kali melangkah ke final sejak digandingkan pada 2017. FOTO ihsan BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tiada istilah putus asa buat pemain badminton beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia walaupun kempunan untuk menamatkan kemarau gelaran sulung bersama Soh Wooi Yik selepas tewas di final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022, semalam.

Aaron yang masih belum mengecap kejayaan sejak digandingkan bersama Wooi Yik pada 2017 itu berkata, kekalahan di tangan beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan bukanlah sesuatu diinginkannya.

"Ini bukan keputusan kami mahukan, tetapi kadangkala pada akhirnya ia tidak dapat dikawal.

"Harap dapat melakukannya semula dan terima kasih kepada penaja kami, kejurulatihan dan staf sokongan yang sentiasa menyokong kami," katanya.

Semalam, Aaron-Wooi Yik tewas 21-23, 10-21 dalam tempoh 52 minit di tangan beregu muda Indonesia itu, sekali gus menyaksikan mereka terus kempunan meraih gelaran sulung sejak digandingkan pada 2017.

Malah, pencapaian terbaik mereka adalah tujuh kali muncul naib juara termasuk di Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

Selepas ini, Aaron-Wooi Yik dijadual menyertai Terbuka Thailand dari 17 hingga 22 Mei ini di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 5:42 PM