AARON-WOOI YIK terkandsa di separuh akhir Terbuka Switzerland. -FOTO Photo Badminton
AARON-WOOI YIK terkandsa di separuh akhir Terbuka Switzerland. -FOTO Photo Badminton
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu negara, Soh Wooi Yik mengakui kesan jangkitan pasca Covid-19 mengganggu rentak permainannya sekali gus menyaksikannya gagal mempamer aksi sebenar.

Terbaru, gandingannya bersama Aaron Chia kandas pada aksi separuh akhir Terbuka Switzerland awal pagi tadi selepas tewas 20-22, 21-13, 8-21 kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto.

Jelas Wooi Yik, selepas dijangkiti wabak itu awal bulan ini, dia merasai sesuatu yang berbeza dengan dirinya tetapi tetap meneruskan juga untuk beraksi di Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Sebelum itu, dia serta Aaron terpaksa menarik diri di Terbuka Jerman yang menyaksikan rakan sepelatih di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul juara.

Penyertaan di saingan Seluruh England pula menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu tersingkir di pusingan kedua.

"Kadang-kadang saya berasa bimbang dan hilang arah. Saya berasakan segala kekuatan dalam badan hilang selepas dijangkiti virus (Covid-19) dan saya tahu ia boleh menjadi masalah besar dalam kejohanan yang akan disertai tetapi saya tidak boleh berundur.

"Mungkin ada yang akan berkata mengapa tidak berehat tetapi kadang-kadang hidup bukan mengenai diri saya sendiri sahaja, ada keadaan, tanggungjawab dan perkara yang orang tidak tahu. Ada kalanya saya tidak boleh bernafas.

"Setiap orang mempunyai takdir masing-masing. Ada yang mungkin berkata mereka mengambil berat terhadap saya tetapi secara tiba-tiba boleh mengubah pendirian mereka," katanya di Instagram miliknya.

Jelas Wooi Yik, dia sangat menghargai gandingannya, Aaron yang memberikan segala-galanya serta membantunya supaya dapat kembali pulih seperti sediakala.

"Saya akan kembali seperti dulu tetapi tidak pasti berapa lama masa yang diperlukan. Berikan saya masa dan saya akan kembali bangkit dengan prestasi sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 2:49 PM