Pemain perseorangan badminton negara, Goh Jin Wei.
Pemain perseorangan badminton negara, Goh Jin Wei.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebaik saja mengumumkan skuad Piala Uber baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin perlu melakukan rombakan semula selepas perseorangan wanita, Goh Jin Wei mengumumkan persaraan dalam akaun YouTube miliknya pagi tadi.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat berdasarkan atas faktor kesihatan.

Menurut pemain berusia 21 tahun dia masih lagi bergelut dengan tahap kesihatan selepas mengalami masalah kesihatan di bahagian perut sehingga menyebabkan terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian usus pada pertengahan 2019.

"Jumlah ubat-ubatan yang perlu saya ambil meningkat. Demi tahap kesihatan, saya tiada pilihan untuk menamatkan karier lebih awal," katanya dalam laman media sosial itu pagi tadi.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata dia terpaksa membuat keputusan yang sangat mengecewakan itu dan tanpa rela kerana masih sayangkan kariernya dalam sukan badminton.

"Bagaimanapun, saya percaya perjalanan yang perlu ditempuhi masih lagi panjang. Saya percaya mampu cemerlang dalam bidang lain pada masa akan datang dan bersedia untuk bekerja keras," katanya.

Keputusan mengejutkan itu bukan saja bakal menjejaskan perancangan skuad Piala Uber tahun ini, malah merencatkan harapan BAM untuk membina pasukan mantap menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia sebelum ini dikatakan mampu menggalas tugas sebagai perseorangan nombor satu negara selepas berjaya muncul juara remaja dunia pada 2015 dan 2018.

Selain pernah menduduki ranking ke-24 dunia dia juga pernah memenangi emas di Sukan SEA 2017, sebelum dihimpit masalah kesihatan.

Selepas tempoh pemulihan dia berjaya menunjukkan peningkatan dengan mara ke suku akhir Masters Orleans dan muncul naib juara di saingan Antarabangsa Sepanyol tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 2:56 PM