BARISAN atlet badminton negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Tokyo semalam. FOTO Bernama
BARISAN atlet badminton negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Tokyo semalam. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah menetapkan garis panduan buat atlet negara sekiranya terdapat daripada mereka yang dijangkiti Covid-19.

Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, prosedur itu sudah dimaklumkan kepada semua yang terbabit dan atlet badminton khasnya diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Biarpun mengakui ada rasa sedikit bimbang keadaan semasa di Tokyo dan terbaru dua atlet disahkan positif di Perkampungan Sukan, Chong Hann berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama MOM berhubung perkara yang perlu dilakukan apabila tiba di Jepun hingga ke Perkampungan Sukan.

"Semua atlet dan pegawai akan mengawal pergerakan terutama ketika berada di Perkampungan Sukan.

"Mereka juga diingatkan untuk berwaspada terutama ketika menggunakan kemudahan di situ. Jika ada pegawai atau pemain yang positif, kami akan mengikut SOP ditetapkan oleh MOM," katanya.

Terdahulu dua atlet diuji positif Covid-19 di Perkampungan Sukan Olimpik, hanya beberapa hari sebelum temasya Tokyo 2020 membuka tirainya.

Sementara itu, perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia berkata, apa yang penting adalah menjaga diri sendiri dan mengikut SOP ditetapkan.

Katanya, atlet negara perlu mengelak makan di kawasan terbuka seperti di kantin atau sebagainya.

"Kami atlet badminton memang sudah biasa dengan SOP ketat jadi memang tiada masalah jika perkara sama digunakan di Tokyo nanti.

"Saya sendiri akan menjaga diri sendiri agar terhindar daripada sebarang bahaya jangkitan. Sebab memang kita dah tahu sekarang ini di Perkampungan Sukan pun sudah ada kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:47 PM