ZII Jia sandaran di Olimpik Tokyo. FOTO Eizairi Shamsudin
ZII Jia sandaran di Olimpik Tokyo. FOTO Eizairi Shamsudin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yakin dengan kemampuan semua atlet badminton negara untuk memberi persembahan terbaik di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Semangat juang yang ditunjukkan oleh kesemua atlet negara harus dipuji kerana begitu komited menjalani latihan di bawah gelembung sukan dan cabaran yang ditempuhi ketika pandemik Covid-19 ini.

Norza turut yakin kemampuan pemain muda negara, Lee Zii Jia untuk menyerap tekanan apabila turun beraksi di pentas terbesar dunia itu.

Justeru, Zii Jia diharapkan dapat memberi yang terbaik biarpun ia adalah kali pertama beraksi di pentas itu.

"Saya percaya dia boleh menyerap tekanan di Olimpik nanti. Dia sudah melalui banyak pengalaman sebelum berdepan Olimpik.

"Zii Jia berdepan dengan pelbagai masalah ketika di Terbuka Thailand. Dia belajar dan menyedari betapa sukarnya berada dalam keadaan itu.

"Saya rasa dia mampu untuk bangkit atasi semua tekanan dan mengatasi segala cabaran yang akan diterimanya nanti.

"Selepas Seluruh England, saya tahu dia boleh mengawal tekanan dan saya percaya dia sudah bersedia untuk Tokyo 2020," katanya.

Sementara itu, Norza berkata, skuad badminton negara kini saling melengkapi antara satu sama lain. Kombinasi pemain muda dan senior akan menguatkan lagi kekuatan mereka.

Justeru diharapkan semangat yang dimiliki oleh semua pemain itu diharapkan mampu menjulang nama negara di pentas tertinggi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 4:45 PM