Pemain badminton wanita negara, Soniia Cheah
Pemain badminton wanita negara, Soniia Cheah
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perjalanannya untuk sampai ke temasya Olimpik Tokyo tidak mudah dan pernah satu ketika, pemain badminton wanita negara, Soniia Cheah terfikir untuk bersara daripada arena itu.

Kecederaan yang dialaminya lapan tahun lalu meninggalkan kesan yang cukup mendalam dan pernah satu ketika dia terpaksa menggunakan kerusi roda selama enam bulan untuk bergerak dan itu hampir meranapkan impiannya untuk ke Olimpik.

Namun Soniia kini boleh berbangga, dia kembali bangkit dan akhirnya berjaya menempatkan diri ke temasya Olimpik Tokyo 2020.

Mengimbau kembali kenangan itu, pemain berusia 28 tahun itu berkata, pernah satu ketika ramai orang beranggapan dia tidak mampu kembali ke gelanggang kerana kecederaan tendon achilis yang dialaminya.

Kontinjen Badminton Negara ke Olimpik Tokyo
Kontinjen Badminton Negara ke Olimpik Tokyo

'Kecederaan itu menyebabkan dia terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan dan paling memeritkan dia mengalami komplikasi dan jangkitan kuman selepas pembedahan.

"Saya terpaksa menggunakan kerusi roda selama enam bulan selepas pembedahan itu.

"Keluarga saya bertanya kepada saya sama ada saya mahu teruskan bermain badminton atau tidak. Saya berkata, saya masih lagi mahu beraksi dan akan mencuba.

"Jika saya tidak mencuba, saya pasti akan kesal sepanjang hidup saya. Hari ini saya gembira, impian saya untuk beraksi di Olimpik tercapai," katanya dalam laman Instagramnya.

Soniia menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada kepada Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pasukan sains sukan selain penaja yang sentiasa menyokongnya.

Soniia antara salah seorang daripada lapan pemain yang berjaya mengesahkan tempat di Tokyo bersama Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 8:06 PM