THINAAH (kiri) dan Pearly meraikan kemenangan mereka. FOTO FB Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
THINAAH (kiri) dan Pearly meraikan kemenangan mereka. FOTO FB Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tampil sebagai pasangan bukan pilihan di Terbuka Switzerland memberi kelebihan kepada beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang beraksi tanpa sebarang tekanan sekali gus memenangi kejohanan itu.

Pada aksi final semalam di Basel, pasangan negara itu menewaskan pilihan ketiga kejohanan, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-19, 21-12 dalam tempoh 43 minit.

Walaupun kemenangan terbabit dilihat kejayaan paling manis sepanjang karier mereka, beregu wanita negara itu tidak mahu dibuai mimpi apabila terus meletakkan sasaran mencipta kejayaan pada kejohanan seterusnya iaitu di Seluruh England.

Thinaah berkata, kemenangan terbabit menyuntik lagi moral dan keyakinan untuk berhadapan lawan yang hebat pada kejohanan seterusnya.

Menurutnya, walaupun tidak diletakkan sebagai pilihan memenangi kejohanan Terbuka Switzerland namun dia tetap mahu buktikan gandingannya bersama Pearly mampu memberi ancaman kepada beregu lain.

"Kemenangan ini adalah cukup penting dalam usaha meningkatkan lagi keyakinan diri untuk mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan seterusnya.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama barisan kejurulatihan dan pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu kami mendapatkan momentum selepas berehat panjang akibat pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Pearly berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan prestasinya sepanjang saingan Terbuka Switzerland.

"Saya berikan segalanya pada kejohanan itu dan mahu pastikan kejayaan milik kami walaupun perlu mengharungi lawan yang berada di kedudukan lebih baik.

"Pada masa sama, saya mengharapkan momentum kemenangan ini dapat dikekalkan pada kejohanan akan datang termasuklah akan memperbaiki lagi kelemahan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 2:55 PM