SCHUMACHER (kiri) bersama bekas prinsipal pasukan Ferrari, Jean Todt ketika zaman kegemilangan pelumba itu. FOTO Agensi
SCHUMACHER (kiri) bersama bekas prinsipal pasukan Ferrari, Jean Todt ketika zaman kegemilangan pelumba itu. FOTO Agensi
AFP

London: Lewis Hamilton berpeluang menyamai rekod 91 kemenangan Grand Prix milik Michael Schumacher minggu ini namun bekas supremo F1, Bernie Ecclestone percaya legenda Jerman itu melalui cabaran lebih sukar ketika zamannya.

Kemenangan di Grand Prix Eifel di Nurburgring, Ahad ini juga akan menyaksikan Hamilton yang juga juara dunia enam kali, menghampiri rekod tujuh kejuaraan dunia yang kini dipegang Schumacher.

Hamilton menggantikan Schumacher di Mercedes pada 2013. Pada Disember tahun yang sama sensasi Jerman itu mengalami kecederaan di otak akibat bermain ski.

Ecclestone berkata, Schumacher yang melakukan penampilan pertama di pentas F1 pada 1991, beraksi di era berbeza.

"Shumacher beraksi dengan cara tersendiri ketika memandu jenteranya," kata Ecclestone yang dihubungi dari rumahnya di Switzerland.

"Hamilton pula sentiasa ada yang membantunya, memberitahu apakah bacaan tekanan tayar, kelajuan ketika memasuki selekoh.

"Zaman dahulu ketika era Alain Prost, apabila bermulanya perlumbaan, dia mengawal jentera dengan cara tersendiri dan ia tidak berlaku zaman sekarang."

Ecclestone yang akan berusia 90 tahun hujung bulan ini berkata, beliau tidak bermaksud mahu merendahkan kemampuan Hamilton.

"Anda tidak boleh memperkatakan sesuatu yang buruk mengenai Lewis. Anda tidak boleh katakan dia tidak bagus, itu bukan topik utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 12:06 PM