SEJARAH penganjuran siri jelajah yang pernah menjadi terbesar Asia LTdL antara contoh yang terpalit dengan pelbagai isu antaranya bebanan hutang sehingga ia hampir juga dibatalkan.
SEJARAH penganjuran siri jelajah yang pernah menjadi terbesar Asia LTdL antara contoh yang terpalit dengan pelbagai isu antaranya bebanan hutang sehingga ia hampir juga dibatalkan.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas atlet berbasikal kebangsaan Nor Effandy Rosli gembira apabila dimaklumkan bahawa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhasrat mengambil alih tampuk kepemimpinan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kerana badan induk itu perlukan pembaharuan demi masa depan sukan itu.

Tapi, perlu diingat, ia bukan satu yang mudah kerana 'politik' dalam PKBM itu sangat kuat dan sukar untuk diramal.

Mendapatkan kepercayaan atau 'membeli' hati ahli majlis itu juga bukan mudah. Mengikut klausa 15.4 perlembagaan badan induk itu, seseorang yang ingin bertanding untuk kerusi nombor satu PKBM atau timbalan hendaklah memegang jawatan dalam jawatankuasa induk untuk satu penggal sepenuhnya dalam penggal lepas terkini dan ini bermakna, bekas Menteri Belia dan Sukan itu masih belum layak bertanding untuk penggal akan datang 2022/2023.

Namun kata Effandy yang pernah beraksi dalam skuad lebuh raya negara di Le Tour de Langkawi (LTdL) dari 1996 hingga 2006 itu, semua itu boleh berubah sekiranya ahli majlis PKBM mengubah klausa berkenaan.

"Sekarang ini semua kuasa terletak di tangan ahli majlis PKBM kerana hanya mereka mempunyai kuasa untuk mengundi dan mengubah klausa dalam perlembagaan PKBM untuk membenarkan orang luar bertanding tanpa sebarang syarat.

"Memang KJ ahli politik, tapi politik dalam PKBM lagi kuat. Kalau ahli majlis nak PKBM berubah mereka perlu ubah perlembagaan dulu.

AZIZULHASNI (kiri) dan Josiah antara kejayaan PKBM lahirkan jaguh pelumba basikal bertaraf dunia.
AZIZULHASNI (kiri) dan Josiah antara kejayaan PKBM lahirkan jaguh pelumba basikal bertaraf dunia.

"Saya yakin, KJ mampu untuk membawa PKBM ke arah yang lebih baik. Bukan kata peneraju PKBM sebelum ini tak bagus, tapi apabila seseorang itu pegang terlalu lama sesebuah tampuk pimpinan itu benda yang sama akan berulang-ulang," katanya.

Effandy yang menyumbangkan perak di Sukan Komanwel 1998 dalam acara lebuh raya itu berkata, lihat saja contoh LTdL, sepatutnya dari tahun ke setahun ia bertambah baik, tapi ketika ini ia menjadi sebaliknya.

Sejarah penganjuran siri jelajah yang pernah menjadi terbesar Asia itu terpalit dengan pelbagai isu antaranya bebanan hutang sehingga ia hampir juga dibatalkan.

"Saya tak mahu cakap banyak. Banyak contoh yang boleh membuka mata ramai pihak. Contoh LTdL dan terbaru Kejohanan Berbasikal Kebangsaan. Tiada hadiah wang tunai untuk menggembirakan pelumba. Sebaliknya hanya berbangga dengan jersi kebangsaan.

"Jadi ubah tapak induk itu jika tidak, PKBM akan terus kekal sebagai PKBM dan benda yang sama akan berulang," katanya.

Bagaimanapun pentadbiran PKBM mungkin boleh berbangga dengan kejayaan melahirkan pelumba terkemuka negara seperti Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.

Azizul menjadi pelumba pertama menang pingat gangsa di Olimpik Rio dan bergelar juara dunia pada 2017.

Josiah turut cemerlang meraih emas di Sukan Komanwel Delhi 2010 dalam keirin dan juga pernah bergelar pelumba nombor satu dunia pada 2004.

Namun persoalannya, siapakah pengganti selepas Azizul dan siapakan pelumba lebuh raya yang mampu untuk mengulangi pencapaian Effandy sendiri dalam acara lebuh raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:01 AM