KFA akan selesaikan tunggakan gaji tiga bulan membabitkan barisan pemain dan jurulatih. FOTO Ihsan FA Kedah
KFA akan selesaikan tunggakan gaji tiga bulan membabitkan barisan pemain dan jurulatih. FOTO Ihsan FA Kedah
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan tiga bulan gaji pemain dan barisan jurulatih Lang Merah sebelum 30 September ini.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tunggakan gaji itu membabitkan bayaran bagi April, Mei dan Jun, manakala gaji semasa sudah dibayar.

"Kita tak ada masalah dalam menyelesaikan gaji semasa dengan gaji Julai, Ogos dan September tahun ini sudah kita dilunaskan.

"Manakala untuk April, Mei dan Jun yang tertunggak akan kita selesaikan sebelum 30 September ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman bagi diagihkan kepada 88 keluarga di rumah pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menjelaskan KFA tidak berhadapan sebarang masalah berkaitan proses pelesenan kelab seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tertangguh sebelum ini.

Katanya, KFA kini sedang mendapatkan persetujuan pemain bagi melengkapkan urusan perlesenan selain sudah menghantar surat kepada FAM berhubung perkara itu semalam.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Aidil Sharin Sahak menyifatkan pembayaran tunggakan gaji sebagai sesuatu yang positif buat anak-anak buahnya.

"Sudah tentu perkara itu menambah moral pemain menjelang penghujung saingan liga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:29 PM