SANUSI    (duduk tengah) bergambar bersama barisan pemain, jurulatih, pengurusan skuad Kedah selepas mengadakan majlis jamuan makan dan sesi ramah mesra di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, semalam.
SANUSI (duduk tengah) bergambar bersama barisan pemain, jurulatih, pengurusan skuad Kedah selepas mengadakan majlis jamuan makan dan sesi ramah mesra di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, semalam.
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) memberi jaminan isu gaji tertunggak yang dihadapi pemain sejak Mac lalu akan dapat diselesaikan pada musim 2020 ini.

Malah berita gembira itu turut disertai bersama pembayaran gaji penuh bulan Julai yang sudah dibayar pada isnin lalu bagi membuktikan komitmen KFA dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji ini.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, KFA sudah memulakan bayaran gaji untuk Julai dan baki gaji tertunggak sebelum ini (sejak Mac) akan menyusul dan akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

"Alhamdulillah, KFA telah menyelesaikan sebahagian dari tunggakan gaji seperti dinantikan, iaitu bayaran gaji penuh untuk Julai.

"Jangkaan berkaitan penyelesaian gaji tertunggak ini saya boleh beri jaminan bahawa semua ini akan selesai pada musim ini juga dan kita tidak akan keluar pada musim ini dengan mengheret hutang ini. InsyaAllah. Itu janji saya.

"Siang tadi (semalam) saya juga mengadakan rundingan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyusun jadual pembayaran caruman tertunggak sejak 2019, ianya sudah lama dan jumlahnya agak banyak dan pihak KWSP akan nyatakan satu jumlah bayaran ansuran bulanan yang perlu diselesaikan iaitu sekitar RM176,000 sebulan," katanya.

Sanusi juga berkata, KFA bakal berbincang dalam mencari persetujuan dengan pemain berkaitan pemotongan gaji seperti digariskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap pengumuman KFA itu sebagai perangsang semangat buat skuadnya yang akan mengharungi cabaran Liga Super bermula 26 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:53 PM