Hafizh Syahrin azam bangkit pada GP Emilia Romagna. FOTO Oceanica Aspar
Hafizh Syahrin azam bangkit pada GP Emilia Romagna. FOTO Oceanica Aspar
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur : Enggan berdepan kekecewaan lagi, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengharapkan perlumbaan yang sempurna pada Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Misano, Ahad ini.

Pelumba Oceanica Aspar itu beberapa kali tidak bernasib baik sejak terbabit dengan kemalangan ngeri di GP Austria pertengahan bulan lalu.

Terbaru minggu lalu dia tidak dapat menamatkan perlumbaan di Litar Misano apabila terbabit dengan kemalangan selepas pada satu ketika berada di kedudukan ke-10.

Ia sekali gus menghampakan Hafizh kerana gagal memberikan hadiah bermakna kepada arwah neneknya, Arbaieah Mohammed yang meninggal dunia dua minggu lalu.

"Pada Grand Prix (GP) San Marino minggu lalu kami memberikan yang terbaik tetapi untuk perlumbaan kali ini kami perlu mengubah persiapan lebih baik kerana pada perlumbaan Ahad lalu, kami kehilangan sesuatu untuk bersaing dengan kelompok depan.

"Saya percaya bahawa saya boleh bersaing dengan mereka. Saya harap dapat terus mempamerkan peningkatan prestasi," katanya.

Selepas tujuh pusingan, Hafizh kini menduduki tangga ke-16 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 17 mata.

Seorang lagi pelumba negara di saingan Moto2, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Onexox TKKR SAG masih gagal mengutip mata pada penampilan pertamanya di Kejohanan Motosikal Dunia.

Namun pelumba berusia 20 tahun itu dilihat menunjukkan peningkatan pada setiap pusingan perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 7:01 PM