JODOH Sarri dengan Juve tidak panjang. FOTO AFP
JODOH Sarri dengan Juve tidak panjang. FOTO AFP
AFP

JUVENTUS memecat Maurizio Sarri selepas juara Serie A itu tersingkir dari aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas tumpas kepada Lyon awal pagi tadi.

Walaupun Cristiano Ronaldo meledak dua gol untuk membolehkan mereka mencatat kemenangan 2-1 di tempat sendiri, namun Juve tersingkir dengan agregat 2-2 membolehkan kelab dari Perancis itu mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

"Maurizio Sarri dibebaskan daripada jawatannya sebagai jurulatih pasukan utama," kata juara sembilan kali berturut-turut Serie A itu dalam satu kenyataan.

Sarri, 61, yang menggantikan Massimiliano Allegri musim lalu, selepas membawa Chelsea menjulang trofi Liga Europa.

"Kelab mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih yang berjaya memahatkan sejarah baru Juventus dengan kejuaraan liga kali kesembilan berturut-turut," kata Juventus.

Walaupun membantu Juve meraih kejayaan Scudetto sembilan kali berturut-turut, Sarri dilihat gagal membawa pasukan di peringkat Eropah.

Juve juga tumpas dalam dua aksi piala musim ini, Piala Itali dan Piala Super Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 9:52 PM