Tiger Woods. FOTO Agensi
Tiger Woods. FOTO Agensi
AFP

JUARA bertahan Masters, Tiger Woods dijangka tidak beraksi pada acara WGC di Memphis minggu depan untuk membolehkannya membuat persediaan bagi kejohanan PGA pada minggu berikutannya di San Francisco.

Woods, juara utama 15 kali, mendedahkan perancangannya selepas berkongsi di kedudukan ke-40 minggu lalu di acara Memorial dalam permulaan pertama Jelajah PGA AS (Amerika Syarikat) sejak Februari.

"Kecewa kerana terlepas @WGCFedEx, tetapi melakukannya saya fikir adalah sebagai persediaan terbaik untuk @PGAChampionship dan kelayakan FedExCup akan datang," catat Woods di twitter.

Bintang golf berusia 44 tahun itu sangat berhati-hati mengenai penyertaannya kembali di mana-mana kejohanan terutama selepas pulih daripada menjalani pembedahan belakang dan lutut.

Dia kembali merangkul kejuaraan utama pertama sejak 2008 pada tahun lalu di Augusta National.

Woods berada di ranking ke-14, berjaya merangkul 82 kejuaraan dalam karier PGA AS, menyamai rekod karier yang dilakukan Sam Snead dengan memenanginya pada Oktober lalu di Jepun.

Sejak itu, dia bertindak sebagai pemain dan kapten memenangi kejuaraan berganda pasukan AS pada Disember lalu di Piala Presiden dekat Australia dan penamat di tempat kesembilan di Torrey Pines pada Januari dan ke-68, terakhir antara mereka yang melakukan cut di Riviera pada Februari lalu.

Dia menarik diri daripada acara pada Mac berikutan sakit belakang sebelum musim tertangguh dari Mac hingga Jun berikutan pandemik Covid-19.

Woods kelihatan cergas untuk aksi TV pertunjukan pada Mei lalu bersama Phil Mickelson dan bintang NFL, Tom Brady dan Peyton Manning.

Beraksi pada Jemputan St. Jude WGC di Memphis minggu depan dan PGA minggu berikutnya di TPC Harding Park mungkin bermakna tiga permulaan dalam empat minggu buat Woods.

Berada di kedudukan ke-42 pada kelayakan ranking mata musim PGA AS, Woods mungkin berpotensi berehat dua minggu selepas PGA sebelum melakukan penampilan pertama kelayakan dalam usaha melayakkannya beraksi di Kejohanan Jelajah di Atlanta pada September nanti.

Perubahan dalam jadual golf global berikutan pandemik menangguhkan aksi PGA dari Mei hingga 6-9 Ogos dan menjadikan ia kejohanan utama pertama dipertandingkan pada 2020.

Terbuka British dibatalkan, Terbuka AS ditangguhkan dari Jun kepada September dan Masters dijadualkan semula dari April kepada November.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 10:46 AM