Reezal Merican (dua kiri) merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-193. FOTO Bernama
Reezal Merican (dua kiri) merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-193. FOTO Bernama
Syazwan Msar


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pasukan khas atau 'task force' khusus melakukan penambahbaikan Program Podium untuk meningkatkan lagi prestasi atlet seterusnya mencapai matlamat yang ditetapkan kepada mereka.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pasukan khas terbabit akan diketuai oleh Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz yang akan memberikan maklumat balas dalam waktu terdekat ini.

Beliau berkata, Program Podium berkenaan tidak boleh dikatakan gagal kerana turut berjaya memperoleh beberapa kejayaan menerusi pencapaian atlet namun ada beberapa perkara perlu dilihat atau diteliti untuk memastikan pencapaian yang ditetapkan berjaya dikecapi.

"Program Podium ini sudah dimulakan sejak 2015 dan sekarang sudah memasuki tahun keenam. Saya tidak kata Program Podium ini gagal kerana banyak pencapaian yang sudah kita raih.

"Namun, ada sasaran yang kita sasarkan tidak tercapai. Jadi, sudah tentu kita perlu menilai semula.

"Sebab itu, saya letakkan perkara ini di bawah Dr Ramlan dan beliau bersama ahli panelnya akan menyediakan 'term of reference' bagi memperkasakan lagi Program Podium," kata Reezal ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-193 di Wisma MOM hari ini.

Reezal Merican (duduk empat dari kiri) bersama anggota MOM.
Reezal Merican (duduk empat dari kiri) bersama anggota MOM.

Sementara itu, berkaitan Program Podium yang mungkin akan diletakkan di bawah seliaan ISN, beliau berkata perkara terbabit perlu diteliti kerana setakat ini tiada masalah di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Sebab itu saya minta dibuat kajian menyeluruh. Sama ada mahu diletakkan di bawah MSN atau ISN. Di bawah MSN pun tidak ada salahnya.

"Cuma, saya mahu lihat dari aspek sasaran yang diletakkan. Contohnya, kita letak sasaran untuk berada di tangga ke-10 pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel (2018) tetapi kedua-duanya kita di kedudukan ke-14 dan 12.

"Namun, bukanlah bererti kita tidak berjaya. Kalau dari segi pungutan pingat, kita capai pungutan pingat jauh lebih tinggi... sebab itu, saya kata bukan keseluruhannya gagal," katanya.

Mengikut rekod, pada awal penubuhan Program Podium, ia diletakkan di bawa ISN sebelum dipindahkan di bawah pengurusan MSN pada Oktober 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 10:17 PM