GHANI mengakui banyak faktor perlu diambil kira untuk kita menyambung kembali saingan Liga-M yang tertangguh akibat penularan Covid-19 sejak 16 Mac lalu. FOTO NSTP
GHANI mengakui banyak faktor perlu diambil kira untuk kita menyambung kembali saingan Liga-M yang tertangguh akibat penularan Covid-19 sejak 16 Mac lalu. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) enggan terburu-buru dalam meneruskan saingan liga tempatan meskipun sudah menerima lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melangsungkan Liga Malaysia (Liga-M) seawal 15 Ogos ini.

Kebenaran MKN itu lebih awal daripada jangkaan MFL yang sebelum ini bercadang untuk menyambung kempen Liga-M pada 1 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, terdapat beberapa perkara termasuk soal persiapan setiap pasukan seperti menjalani ujian kesihatan, proses disinfeksi dan nyahcemar di venue perlawanan serta kesediaan fizikal untuk mengelak sebarang kecederaan perlu diambil kira.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tarikh rasmi Liga-M selepas menerima laporan penuh persiapan untuk penyambungan liga daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat ini.

"Banyak faktor perlu diambil kira untuk kita menyambung kembali saingan Liga-M yang tertangguh akibat penularan Covid-19 sejak 16 Mac lalu.

"Kita perlu memastikan semua pasukan memiliki cukup masa untuk mempersiapkan pasukan supaya kita dapat melihat saingan lebih kompetitif dan berkualiti apabila liga kembali bersambung.

"Kita juga mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan pemain jika kita tergesa-gesa untuk memulakan saingan liga ketika pemain masih belum bersedia dengan tahap fizikal terbaik.

"Selain itu pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue-venue yang akan bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses disinfeksi dan nyahcemar venue perlawanan.

"Semua pasukan digesa untuk menjalankan proses penyelengaraan dan baikpulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan," katanya.

Berdasarkan jadual yang dirancang sebelum ini, Liga Super dan Liga Perdana akan disambung pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga.

Manakala pertandingan Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober hingga 7 November sementara Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 12:05 AM