AB Ghani berkata tindakan itu jelas melanggar perintah kerajaan yang melarang sebarang perhimpuan dalam tempoh pandemik Covid-19. FOTO NSTP
AB Ghani berkata tindakan itu jelas melanggar perintah kerajaan yang melarang sebarang perhimpuan dalam tempoh pandemik Covid-19. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pastikan penyokong masing-masing tidak 'cemari' usaha bawa penonton ke stadium dengan berkumpul di luar venue ketika perlawanan liga berlangsung.

Peringatan itu diberikan kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) supaya memastikan penyokong masing-masing tidak melanggar arahan pihak berkuasa untuk tidak berkumpul di perkarangan stadium.

Ia susulan tindakan sekumpulan penyokong yang berhimpun di luar perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum perlawanan Liga Super 2021 membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur City FC semalam yang mencetuskan kebimbangan pengurusan liga tempatan itu untuk mendapatkan kebenaran kemasukan penonton pada masa akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, tindakan itu jelas melanggar perintah kerajaan yang melarang sebarang perhimpuan dalam tempoh pandemik Covid-19 di mana perlawanan Liga-M ketika ini masih berlangsung tanpa penyokong di stadium.

Sebaliknya, perbuatan penyokong itu akan memberikan kesan kepada usaha MFL dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memohon rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan kemasukan semula penyokong ke stadium dalam tempoh terdekat ini.

"MFL kesal dengan perbuatan segelintir penyokong yang bertindak membuat perhimpuan di luar stadium di mana jelas menyalahi tuntutan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam PKP ini.

"Kesannya bukan sahaja memberikan impak kepada Liga-M sebaliknya ia turut merencatkan usaha MFL dan KBS untuk membawa masuk kembali penyokong selepas setahun tiada kelibat penonton di stadium disebabkan pandemik Covid-19.

"Saya menggesa semua pihak supaya lebih sensitif dengan situasi pandemik Covid-19 di mana mereka seharusnya bijak memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan menerusi cara betul selaras tuntutan SOP.

"Oleh demikian, saya berharap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi di Stadium MBPJ yang berlaku petang semalam (kelmarin) dan di semua venue Liga-M yang jelas melanggar SOP Covid-19," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat peringatan kepada semua pasukan supaya mematuhi arahan terbabit selain memastikan tiada penyokong berkumpul di luar stadium.

"Berikutan situasi berkenaan, MFL mengambil langkah segera menghantar surat peringatan kepada semua pasukan supaya tiada sebarang perhimpunan di luar stadium terutama membabitkan penonton," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 5:50 PM