Pemain Inter Milan, Alessandro Bastoni (tengah) meraikan jariangan kemenangan ke atas Parma. FOTO Reuters
Pemain Inter Milan, Alessandro Bastoni (tengah) meraikan jariangan kemenangan ke atas Parma. FOTO Reuters
AFP

ALESSANDRO Bastoni melengkapkan kebangkitan lewat Inter Milan ketika dua gol dalam tempoh enam minit terakhir perlawanan menewaskan Parma 2-1, pagi ini.

Sementara, Atalanta mencatat kemenangan ketiga berturut-turut sejak saingan Serie A bersambung semula.

Gervinho meletakkan Parma di depan pada babak pertama di Stadio Ennio Tardini tapi Inter yang hampir dikejutkan dengan jaringan lewat permainan di gelanggang sendiri ketika berdepan Sassuolo Khamis lalu, bangkit menerusi tandukan Stefan de Vrij dan disusuli jaringan Bastoni untuk memastikan kemenangan mutlak itu.

Inter kekal ketinggalan lapan mata berbanding pendahulu liga, Juventus dan empat mata di belakang Lazio di kedudukan kedua dengan baki 10 perlawanan.

"Saya fikir kami memang layak memenangi perlawanan ini. Sememangnya layak," kata pembantu Inter, Cristian Stellini kepada Sky Sport, ketika jurulatih kelab itu Antonio Conte terpaksa menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton selepas melanggar peraturan melepas garisan ditetapkan.

Atalanta mengukuhkan kedudukan di tempat keempat liga selepas dua jaringan menarik dari Luis Muriel yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua dalam kemenangan 3-2 di Udinese.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 7:51 AM