AZIZULHASNI Awang antara atlet negara yang berpangkalan di luar negara. FOTO AFP
AZIZULHASNI Awang antara atlet negara yang berpangkalan di luar negara. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan kesemua 48 atlet yang kini berada di luar negara berada dalam keadaan baik dan selamat.

Seramai 25 orang terbabit dalam Program Podium (renang, berbasikal, olahraga, muay thai dan golf), manakala 23 orang di luar Program Podium (lawan pedang, hoki ais, bola sepak, luncur ombak, mendayung, luncur ais, golf, papan selaju, ragbi).

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan masing-masing sudah berhubung dengan atlet berkenaan untuk mengetahui perkembangan dan menasihati agar mematuhi perintah dan arahan yang dikuatkuasakan di negara masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menjelaskan kesemua atlet negara itu berada di luar negara kerana sebab tertentu antaranya melanjutkan pelajaran atau mewakili kelab luar negara sebagai atlet profesional dan bercuti.

“Ada juga di antara atlet kini sedang mengikuti latihan atau pertandingan dan seramai tujuh atlet adalah bermastautin tetap.

“Di samping itu, atlet Malaysia mahupun atlet persendirian atau persatuan adalah dinasihatkan untuk berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan,” katanya.

Bagaimanapun, Reezal dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan bahawa Menteri Luar Negeri Malaysia menasihati agar rakyat Malaysia yang berada di dua negara (Amerika Syarikat dan United Kingdom) untuk membuat perancangan awal balik ke Malaysia sebelum dua negara itu ‘lockdown’ dan semua penerbangan komersial mungkin diberhentikan.

Jelasnya lagi, Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memantau latihan dan laporan perkembangan atlet Program Podium antaranya melalui teknologi seperti jam pintar dan kaedah atas talian serta menasihati jurulatih dan atlet membuat pengubahsuaian terhadap program latihan atlet bagi mengekalkan kecergasan, fokus serta motivasi mengikut kesesuaian di negara masing-masing.

Keadaan wabak Covid-19 di luar negara mungkin berubah dan KBS, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan akan sentiasa memantau perkembangan dan keperluan dari semasa ke semasa serta bersedia untuk membantu atlet Malaysia di luar negara pulang ke Malaysia sekiranya keadaan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 7:32 PM