IBNI Amin berkata MSNT belum putuskan penyertaan ke Sukma. FOTO NSTP
IBNI Amin berkata MSNT belum putuskan penyertaan ke Sukma. FOTO NSTP
Malik Muhamad


MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) belum membuat keputusan berhubung penyertaan kontinjen negeri ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadualkan berlangsung di Johor bermula 11 hingga 19 Julai depan.

Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu berkata, pihaknya masih menunggu keputusan Jawatankuasa Tertinggi sukan dwitahunan edisi ke-20 itu sama menghantar kontinjen ataupun sebaliknya.

Katanya, penyertaan kontinjen juga bergantung kepada pandangan dan keputusan kerajaan negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 hingga 31 Mac ini.

“Kita menunggu keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma sama ada tarikh tetap ataupun sebaliknya dan penghantaran kontinjen kita pula bergantung kepada pandangan dan keputusan kerajaan negeri.

“Kita akan tetap patuh kepada arahan kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam menghadapi isu global bagi menangani penularan wabak Koronavirus (Covid-19) ini.

“Hal ini kerana nyawa semua termasuk atlet menjadi keutamaan. Kini semua atlet berlatih di kediaman masing-masing mengikut program yang diberikan setiap jurulatih,” katanya.

Terengganu yang juga juara bertahan, mempertaruhkan 800 atlet termasuk pegawai ke kejohanan itu dan kini berada pada fasa persiapan akhir membabitkan atlet bagi memastikan mampu mempertahankan gelaran juara keseluruhan.

Sebelum ini Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memaklumkan keputusan muktamad sama ada penganjuran itu akan diteruskan ataupun tidak bakal diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa SUKMA yang akan dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 7:18 PM