Mohamad Norza (tengah depan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM, hari ini. FOTO Bernama
Mohamad Norza (tengah depan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan membawa ‘suara’ persatuan sukan kebangsaan kepada pihak berkaitan supaya tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dilanjutkan berikutan pembatalan serta penundaan beberapa kejohanan kelayakan susulan penularan wabak koronavirus baharu atau Covid-19 di seluruh dunia.

Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara itu perlu dibangkitkan agar lebih ramai atlet negara dapat melayakkan diri pada temasya sukan terbesar di dunia itu.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur Sukan Olimpik 2020 iaitu Jepun, di samping mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan antarabangsa supaya tempoh kejohanan kelayakan itu dilanjutkan.

"Contohnya, badminton berkaitan Piala Thomas, ada cadangan supaya tempoh kelayakan dilanjutkan mungkin sehingga Jun kerana banyak kejohanan kelayakan dibatalkan.

Kedua, kami perlu melakukan libat urus dengan persekutuan (sukan) antarabangsa jadi langkah ini boleh memberikan layanan yang adil kepada semua negara termasuk China.

Kami tidak bercakap hanya untuk diri kami tetapi juga untuk orang lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM, hari ini.

Antara kejohanan dibatal dan ditangguhkan susulan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 ialah Kejohanan Badminton Terbuka Jerman dan Terbuka Poland serta Kejohanan Olahraga Indoor Sedunia 2020.

Sehingga kini 11 atlet Malaysia telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka adalah Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Khairulnizam Mohd Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Lima lagi adalah atlet terjun iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal), Pandelela Rinong Pamg (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama, dan Mohd Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal trek, (keirin dan pecut).

Ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah menunda atau membatalkan sebarang kejohanan yang bakal diadakan di negara ini, Mohamad Norza berkata pada masa kini keadaan di Malaysia masih terkawal.

"Kita sudah ada taklimat dengan Kementerian Kesihatan. Pada masa kini keadaan masih terkawal. Sebab itu apa yang kita buat mesti berlandaskan kepada arahan kerajaan.

Namun kita berharap pihak terbabit terutamanya persatuan sukan kebangsaan mengambil kira ancaman wabak Covid-19 ini. Sekiranya kejohanan hendak diadakan perlu ada langkah pencegahan," katanya.

-

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:25 PM