WILDER memasuki gelanggang sambil memakai kostum khas. FOTO USA Today
WILDER memasuki gelanggang sambil memakai kostum khas. FOTO USA Today
AFP

DEONTAY Wilder mahu perlawanan ulangan kali ketiga dengan Tyson Fury selepas tewas menerusi TKO pada pusingan ketujuh di tangan peninju Britain itu.

Wilder memberi alasan kostum yang dipakainya ketika memasuki gelanggang menjadi punca kepada kekalahan pertama dalam kariernya itu.

Jelasnya, kostum dilengkapi dengan penutup penuh di kepala seberat 18 kilogram (kg) itu yang dipakainya ketika berjalan menuju ke gelanggang MGM Grand Garden Arena, menyebabkan kakinya berasa lemah.

Fury menjatuhkan Wilder pada pusingan ketiga menerusi tumbukan tangan kanan dan petinju Amerika Syarikat (AS) itu dilihat agak goyah selepas itu.

Wilder terjatuh sekali lagi pada pusingan ketiga sebelum Fury konsisten menjatuhkan lawannya itu selepas melakukan tumbukan di badan pada pusingan kelima.

“Kostum yang saya pakai terlalu berat. Pergerakan kaki saya terhad pada awal perlawanan lagi. Di pusingan ketiga, kaki saya berasa terlalu lemah.

“Tapi saya seorang pejuang dan semua orang tahu bahawa saya seorang pejuang. Ramai yang bertanyakan saya seperti ada yang tidak kena dengan diri saya ketika itu.

“Bagaimanapun apabila anda berada di dalam gelanggang, anda perlu lupakan semua itu,” kata Wilder.

Wilder dan Fury meraih keputusan seri ketika pertemuan pertama mereka pada Disember 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 11:56 AM