AKSI Jesus menjaringkan gol kemenangan City. FOTO  Reuters
AKSI Jesus menjaringkan gol kemenangan City. FOTO Reuters
Reuters

JARINGAN tunggal pemain gantian, Gabriel Jesus memastikan kemenangan 1-0 Manchester City ke atas Leicester City dalam aksi Liga Perdana yang menyaksikan skuad Guardiola sekali lagi gagal menjaringkan penalti di tempat lawan, awal pagi tadi.

Keputusan perlawanan tampak hampir mengecewakan buat pasukan di tangga kedua itu apabila Kasper Schmeichel menyelamatkan penalti Sergio Aguero sejam selepas perlawanan bermula tetapi Jesus akhirnya muncul wira pasukan.

Pemain Brazil itu yang menerima hantaran bekas pemain Leicester, Riyad Mahrez dalam kotak penalti tenang menolak bola melepasi jangkauan Schmeichel.

Kemenangan membolehkan City tujuh mata mengatasi Leicester dalam pertarungan merebut tangga kedua di belakang pendahulu, Liverpool yang 19 mata di depan sebelum aksi menentang West Ham United di Anfield pada awal pagi Selasa ini.

Sesuatu yang agak mengejutkan apabila kedua-dua pasukan mengambil masa lama untuk memecah kebuntuan jaringan di Stadium King Power.

Percubaan penjaring terbanyak Liga Perdana, Jamie Vardy terkena tiang pada babak pertama manakala Schmeichel bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Kevin de Bruyne dan Aguero.

Kegagalan Aguero menjaringkan penalti bermakna City gagal melaksanakan lima daripada tujuh penalti terakhir diperolehi mereka dalam semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 7:40 AM