Misbun dan isteri kongsi hari lahir yang sama.
Misbun dan isteri kongsi hari lahir yang sama.
Ferzalfie Fauzi


SETIAP kali pada tarikh 17 Februari Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek akan menyambut sambutan ulang tahun kelahirannya.

Paling menarik beliau tidak menyambut atau disambut seperti pemain perseorangan sebaliknya, berada di gelanggang seperti beraksi dalam permainan beregu campuran, apabila berkongsi tarikh lahir yang sama dengan isterinya, Datin Latifah Sidek.

Jika hendak diikutkan kedua-dua pasangan sejiwa ini bukan saja berkongsi tarikh hari lahir yang sama tapi turut berbin dan bintikan nama bapa yang serupa.

Bagaimanapun, sempena ulang tahun ke-60 (Misbun) dan 57 (Latifah) mereka meraikan lebih awal tahun ini, bukannya hari ini tapi semalam di kediaman legenda badminton negara itu.

Majlis berkenaan yang turut dihadiri keluarga, saudara terdekat dan rakan-rakan, menyaksikan Misbun dan Latifah, masing-masing mempunyai sebiji kek, tertera usia mereka tahun ini.

“Salam hormat. Hari ini (semalam) saya dan isteri meraikan sambutan lebih awal ulang tahun kelahiran secara bersama keluarga, saudara terdekat dan rakan taulan.

“Syukur Alhamdulillah. Saya anggap ulang tahun kelahiran saya kali ke-60 dan isteri saya ke-57 ini adalah satu permulaan hidup yang baharu," kata Misbun dalam laman sosial Facebook miliknya.

Di kesempatan itu beliau juga mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberi oleh BAM terutama Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan ahli-ahli majlis dalam memikul tanggungjawab sebagai supremo badminton remaja negara.

Selain berkongsi gambar bersama kek, majlis berkenaan juga dimuatnaik di YouTube, menggunakan akaun kelab badminton miliknya, Nusa Mahsuri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 9:22 PM