KEDUDUKAN Misbun sebagai Pengarah Pembangunan Remaja BAM masih selamat. FOTO FB BAM
KEDUDUKAN Misbun sebagai Pengarah Pembangunan Remaja BAM masih selamat. FOTO FB BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kedudukan Datuk Misbun Sidek selaku Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih selamat.

Bagaimanapun, namun buat masa sekarang beliau diberi peluang untuk melakukan bedah siasat susulan kegagalan pemain negara di Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, bulan lalu.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya masih menaruh kepercayaan kepada jurulatih berpengalaman itu.

"Buat masa sekarang, kami akan memberi peluang kepada beliau (Misbun) untuk melakukan apa yang perlu dilakukannya. Saya percaya beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti pasukan sains sukan dan pengurusan mengenai perkara ini," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kedudukan Misbun menjadi tanda tanya selepas prestasi dipamerkan skuad remaja pada saingan Kejohanan Remaja Dunia, bulan lalu cukup mengecewakan dan boleh dianggap antara prestasi terburuk skuad negara.

"Saya percaya beliau akan menjalankan penilaian secara menyeluruh dan lihat apa perkara yang perlu dipertingkatkan lagi terutama membabitkan struktur kejurulatihan dan program latihan pemain.

"Beliau perlu mengemukakan perancangannya dan satu program yang lebih tersusun untuk barisan pemain remaja negara secepat mungkin," kata Kenny.

Susulan kegagalan itu, Kenny berkata, BAM kemungkinan besar melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad remaja negara yang diketuai Misbun.

Misbun turut senada dengan badan induk itu apabila merasakan perlunya rombakan dibuat dan turut akan mencadangkan kepada pengurusan BAM untuk memanjangkan tempoh masa latihan pemain remaja negara bagi memantapkan kekuatan fizikal mereka.

Selain Misbun, lima lagi jurulatih yang mengendalikan pemain bawah 18 tahun negara ialah Hazwan Jamaluddin, Poh Chai Boon (perseorangan), Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan dan Lufti Zaim (beregu).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 3:29 PM