SANCHEZ (kiri) dan Lukaku perlu buktikan kemampuan sendiri sebagai peledak gol terbaik. FOTO/AGENSI
SANCHEZ (kiri) dan Lukaku perlu buktikan kemampuan sendiri sebagai peledak gol terbaik. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Penyerang Manchester United, Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku akan memperoleh segala bantuan bagi meningkatkan prestasi tetapi ia tetap bergantung bagaimana mereka menggunakan peluang yang diberikan, kata pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Sanchez hanya menjaringkan satu gol dalam kempen Liga Perdana musim ini dengan masalah kecederaan dan penurunan prestasi menyaksikannya hanya membuat lima penampilan dalam kesebelasan utama bersama United.

Penyerang Belgium, Lukaku juga tampak tidak begitu menjadi apabila hanya meledak enam gol dalam 16 penampilan.

Menjelang aksi menentang Bournemouth Ahad ini, Solskjaer ditanya sama ada jentera serangannya terganggu selepas bintang tengahnya, Paul Pogba, meledak dua gol dan melakukan dua umpanan dalam dua perlawanan terakhir di bawah kendaliannya.

“Saya tidak bersetuju kerana saya melakukannya dengan Paul dan saya boleh melakukannya juga dengan Romelu dan Alexis. Ia bergantung kepada bagaimana mereka menggunakan peluang yang diberikan,” kata Solskjaer.

“Ia adalah permainannya apabila kamu seorang pemain bola sepak. Kamu perlu melakukannya bersendirian. Ya, kamu mahukan bantuan daripada pengurus dan rakan sepasukan kamu.

“Saya berada di sini untuk membantu mereka, membimbing mereka ke laluan yang sebenar dan kemudian ia bergantung kepada bagaimana mereka melakukannya di atas padang.”

Pogba sebelum ini bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik di bawah kendalian bekas pengurus, Jose Mourinho.

Sekalipun wujud laporan mengatakan hubungan di antara kedua-duanya tidak begitu baik, pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu bermain dengan lebih bebas di bawah Solskjaer yang turut menyokong pasukannya untuk meluahkan segala-galanya jika wujud kekusutan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 8:25 PM