LLICIC jaring gol Atalanta. FOTO Agensi
LLICIC jaring gol Atalanta. FOTO Agensi
Reuters

ATALANTA terlepas peluang kembali ke kelompok empat teratas Serie A apabila tewas mengejut 1-2 kepada SPAL di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Atalanta yang menjaringkan 50 gol dalam 20 perlawanan Serie A menang dua aksi terakhir di tempat sendiri menentang AC Milan dan Parma dengan keputusan 5-0 tampak mengulangi keputusan sama apabila Josip Ilicic meletakkan mereka di depan selepas 16 minit.

Hantaran Duvan Zapata dari sebelah kanan disambut dengan kuisan cantik pemain Slovenia itu.

Percubaan pemain Colombia itu turut terkena palang tetapi Atalanta dikejutkan dengan rembatan Andrea Petagna yang terkena tiang sejurus sebelum rehat.

SPAL yang ditubuhkan pada 1907 dan hanya kembali ke Serie A pada 2017 selepas 49 tahun menghilang kembali bertukar watak pada babak kedua dengan kerap mengasak kubu tuan rumah.

Petagna berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 apabila menolak bola masuk selepas mendapat hantaran Arkadiusz Reca dari sebelah kiri dan Mattia Valoti memastikan kemenangan pelawat menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Atalanta kekal di tempat kelima dengan 35 mata manakala SPAL 15 mata, melonjak dari tangga tercorot dan digantikan oleh Genoa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 8:41 AM