MARIO Pasalic. FOTO Agensi
MARIO Pasalic. FOTO Agensi
Reuters

ATALANTA mencerahkan peluang memburu slot kelayakan Liga Juara-Juara selepas menewaskan AS Roma 2-1 dalam aksi Serie A hasil jaringan kemenangan Mario Pasalic, awal pagi tadi.

Edin Dzeko meletakkan pelawat yang menduduki tangga kelima pada akhir babak pertama tetapi Atalanta di tangga keempat menyamakan kedudukan pada awal babak kedua menerusi jaringan Jose Palomino.

Bagaimanapun, Pasalic mencuri tumpuan pada minit ke-59 hasil rembatan lencung ke penjuru gawang selepas baharu sahaja 19 saat berada di atas padang sebagai pemain gantian.

Kemenangan itu membolehkan skuad Gian Piero Gasperini menghuni kelompok empat teratas dengan Atalanta meraih 45 mata, enam mata mengatasi Roma.

Pada perlawanan awal, Genoa yang menduduki tangga ke-18 meraih kemenangan pertama di tempat lawat musim ini selepas menang 3-0 di Bologna yang membolehkan mereka satu mata di bawah zon selamat. Tuan rumah beraksi sembilan pemain selepas Jerdy Schouten dan Stefano Denswil dibuang padang.

Lecce turut berpeluang menyelamatkan diri apabila melonjak mengatasi Sampdoria di tangga 16 hasil kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan SPAL 2-1 di Stadio Via del Mare dalam perlawanan pertama Luigi Di Biagio sebagai jurulatih kelab kelompok bawahan Serie A itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 8:36 AM