KHAIRUL sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. — FOTO Aizuddin Saad
KHAIRUL sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. — FOTO Aizuddin Saad
Azlan Muhammad Zain


DUA pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad dan S Suresh antara yang disenarai pendek Persekutuan Memanah Antarabangsa (Fita) bagi anugerah atlet terbaik 2019.

Menurut laman web rasmi Fita, Khairul tersenarai antara lima pemanah recurve lelaki selain Brady Ellison (Amerika Syarikat), Lee Woo Seok (Korea Selatan), Mauro Nespoli (Itali) dan Ruman Shana (Bangladesh).

Pencapaian terbaik Khairul yang berada di ranking kesembilan dunia muncul naib juara dunia selepas tewas kepada Ellison pada aksi final yang ditentukan menerusi shoot-off.

Ellison dijangka menjadi pencabar utama selepas muncul juara dunia selain memenangi Kejohanan Akhir Piala Dunia di Moscow serta dua emas siri Piala Dunia di Colombia dan Turki.

Atlet paralimpik negara, Suresh pula berpeluang cerah untuk memenangi kategori Para Lelaki selepas melakar kejutan muncul juara dunia.

Dia yang kini berada di ranking pertama dunia menumpaskan pemanah AS, Eric Bennett 7-3 pada final Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbosch, Belanda Jun lalu.

Empat lagi pemanah yang menjadi pesaing Suresh adalah Ben Thompson (AS), Bahattin Hekimoglu (Turki), Ruben Vanhollebeke (Belgium) dan Steve Prowse (Britain).

Pemenang akan ditentukan menerusi kombinasi panel pakar dan undian dalam talian yang dibuka kepada orang ramai hingga 31 Januari ini.

Pemenang akan diumumkan pada 8 Februari depan di Las Vegas sempena Siri Akhir Dunia Memanah Dalam Dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 8:23 PM