BRUNO Henrique (kanan) menjaringkan gol kedua Flamengo di Stadium Antarabangsa Khalifa. — FOTO Reuters
BRUNO Henrique (kanan) menjaringkan gol kedua Flamengo di Stadium Antarabangsa Khalifa. — FOTO Reuters
AFP

BRUNO Henrique meledak satu gol dan mencipta dua lagi untuk membantu Flamengo layak ke final Piala Kelab Dunia ketika kelab gergasi Brazil itu bangkit untuk menewaskan juara Asia, Al Hilal 3-1 di Doha, awal pagi tadi.

Salem Aldawsari memberikan kelab Arab Saudi itu gol pendahuluan pada babak pertama aksi separuh akhir dalam cuaca hujan malam di Stadium Antarabangsa Khalifa, namun Flamengo bangkit selepas rehat dan menyamakan kedudukan menerusi Giorgian De Arrascaeta pada minit ke-49.

Bruno Henrique kemudian menanduk masuk selepas 78 minit dan kelab Rio itu memastikan kemenangan apabila hantaran silang leret pemain itu ditampan masuk pemain pertahanan Al Hilal, Ali Albulayhi lapan minit sebelum tamat.

Kelab Brazil itu akan berdepan pemenang separuh akhir kedua antara Liverpool dengan kelab Mexico, Monterrey di Doha awal pagi esok.

SALEM (tengah) meraikan gol pembukaan Al Hilal menentang Flamengo. — FOTO AFP
SALEM (tengah) meraikan gol pembukaan Al Hilal menentang Flamengo. — FOTO AFP

“Inilah persembahan terbaik Flamengo musim ini,” kata jurulatih dari Portugal, Jorge Jesus, bekas bos Benfica yang mengendalikan Al Hilal tahun lalu.

“Saya tidak kisah sama ada kami menentang Liverpool atau kelab Mexico itu. Kami tidak memikirkan mengenai Liverpool sebelum bertemu Al Hilal tapi saya sering kali kagum dengan bola sepak Eropah dan saya percaya mereka pasukan pilihan.

“Apabila kami hadir ke Qatar kami mahu menang Piala Kelab Dunia dan kini kami mahukannya lebih lagi.”

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Copa Libertadores dan kejuaraan Brazil bulan lalu, Flamengo berharap untuk memenangi trofi itu buat kali pertama.

Bagaimanapun, mereka menang Piala Antara Benua pada 1981, pasukan yang diketuai Zico menewaskan Liverpool 3-0 di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:11 AM