JOSE Mourinho. FOTO Reuters.
JOSE Mourinho. FOTO Reuters.
AFP

JOSE Mourinho berkata beliau tidur di pusat latihan Tottenham sebaik tewas kepada Manchester United.

Rekod tanpa kalah 100 dimiliki Mourinho sejak mengendalikan Spurs berakhir dengan kekalahan kepada bekas kelabnya 1-2 di Old Trafford.

Bagaimanapun katanya, beliau enggan dibelenggu kesedihan dan sebaliknya mula merancang untuk aksi menentang Burnley di laman sendiri malam ini.

“Saya tidur di sini (pusat latihan), saya tinggal di sini, tidak pulang ke rumah, jadi pagi berikutnya pada jam 8 pagi, saya berada di sini untuk apa? Burnley,” kata Mourinho hari ini.

“Menganalisis Burnley, cuba mengaturkan sesi latihan, cuba mengaturkan pertemuan, memilih rakaman untuk ditunjukkan kepada pemain bagaimana pemain Burnley beraksi sebenarnya.

“Itu cara anda hadapinya dalam bola sepak. Usah terima dengan cara yang pasif.”

Kekalahan kepada United hadir selepas kemenangan liga berturut-turut ke atas West Ham dan Bournemouth, selain mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Kini Mourinho mengarahkan pasukannya untuk bangkit atas kekalahan itu.

“Selepas kalah anda tidak boleh sedih. Anda perlu menjadi lebih daripada itu. Anda perlu geram, marah dan bukannya sedih,” kata pengendali berusia 56 tahun itu.

“Sedih adalah kedukaan. Ia kematian. Apabila anda kehilangan seseorang, anda perlu sedih, anda perlu berduka, anda perlu menangis.

“Tiada penyelesaian terhadap perkara itu, anda kehilangan seseorang. Dalam perlawanan bola sepak, anda kalah satu, esok ada perlawanan lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 8:47 AM