Lautaro Martinez (tengah) berlari meraikan jaringan menentang SPAL. FOTO AFP
Lautaro Martinez (tengah) berlari meraikan jaringan menentang SPAL. FOTO AFP
AFP

LAUTARO Martinez meledak dua gol ketika Inter Milan melonjak ke puncak liga Serie A Itali selepas menang 2-1 ke atas SPAL pagi ini.

Pemain Argentina Martinez meletakkan Inter di depan pada minit ke-16 di San Siro, dan kemudian menanduk masuk hantaran lintang Antonio Candreva untuk gol liga kelapannya musim ini.

Mattia Valoti merapatkan jurang, namun belum cukup untuk mengelak SPAL yang menghuni tangga kedua tercorot daripada merakam kekalahan kesembilan pada kempen kali ini.

Conte membimbing Inter memenangi 12 daripada 14 perlawanan liga buat pertama kali, dan merampas kembali tangga teratas yang kali terakhir dihuni sebelum kekalahan 2-1 kepada Juventus pada 6 Oktober lalu.

“Apabila pasukan seperti Juventus tercicir mata, anda perlu memastikan peluang itu dimanfaatkan,” kata Conte yang turut pernah mengendali Juve.

Sementara itu, Lazio kekal di tangga ketiga dengan tujuh mata di belakang Inter selepas merakam kemenangan 3-0 di Udinese hasil dua gol jaringan peledak terbanyak Serie A Ciro Immobile, termasuk satu sepakan penalti, untuk menjadikan 17 gol dijaringkan setakat ini, serta satu sepakan penalti Luis Alberto.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:07 AM